Sunday, December 27, 2015

Perihal Terapi Si Amatur Di Dapur

Assalamualaikum....

Memasak dan baking adalah terapi bagi saya. Walaupun taklah hebat di dapur, ala-ala amatur yang bermula dari zero, tapi sememangnya memasak memberikan ketenangan untuk saya selain tidur dan terbaring menonton TV. Tapi lebih terapi jika masak je tanpa perlu basuh pinggan..haha. takpe kan nak berangan kot-kot ada pembantu suatu hari nanti. Buat masa ni, suami jela yang rajin membantu.Macam semalam, saya di dapur..Suami di ruang tamu tolong lipat kain sebakul besar..hihihi. Alhamdulillah..


Asam pedas
Orang Melaka, haruslah pandai masak asam pedas. eh, perlu ke? Bagi saya perlu sebab bile orang dengar kita orang melaka, mesti ada je suara yang buat permintaan asam pedas. Kadangkala permintaan kawan-kawan dan kadangkala dari bibir suami sendiri..haha. Ok, sebenarnya tak wajib pun belajar masak asam pedas. Macam saya, guru masakan saya adalah mak saya. Jadi, secara tak langsung saya akan tahu masak asam pedas sebabnya mak saya paling kurang seminggu sekali masak asam pedas. Walaupun mak tak ajar cara-caranya, tapi saya pasti akan tahu sebab saya pembantunya di dapur. Cuma bila saya berkahwin, nampaknya suami dan saya sendiri tak gemar asam pedas versi melaka yang mana ianya cair sedikit. Kami lebih gemar yang lebih masam dan kuahnya pekat seperti gambar di atas. Jadinya saya akan masak asam pedas versi saya sendiri di mana semua bahannya adalah seperti yang mak saya gunakan, cuma kurangkan sedikit airnya..erk, tiba-tiba terliur membayangkan..makan pula dengan ikan tenggiri jeruk. Aduh, di manakah dietku???hahaha.

Meatball ala IKEA
Meatball ala IKEA ini adalah percubaan yang pertama. Resipi pun saya cari di internet sahaja. saya follow semua bahan yang dinyatakan kecuali saya kurangkan lada hitam agar anak-anak pun dapat nikmati meatball ini. Syukurlah hasilnya positif..suami pun suka. Macam mana saya tahu? Sambil makan sebut lepas ni tak payah pergi IKEA dah (harap-harap itu pujian la kot..haha). Dan masa dinner saya buat ayam bakar madu, suami makan ayam bakar dengan lebihan sos meatball ni..Alhamdulillah. 

Memasak - Bersendirian/Berangan di dapur - Keluarga kecil jamu selera - Hati gembira (Terapi la kan?)

Hari ini juga hati saya tercuit dan sebak dalam senyuman bila penulis yang saya kagumi mention berkenaan emel saya padanya. 1 perenggan untuk appreciate apa yang saya telah emel kepadanya. Semoga suatu hari nanti saya diberi kekuatan untuk menjadi sepertinya. menggunakan sebaiknya bakat menulis yang ada di samping menggalas tugas dan tanggungjawab hakiki yang telah diamanahkan. Saya sering terkesan dengan tulisannya kerana beliau gemar menggamit memori lama. Sebabnya saya juga suka mengimbas kisah silam..kisah kesusahan keluarga suatu masa dulu. kerana bagi saya, kisah saya itu yang membawa saya ke tahap saya berada hari ini. Di mana dari kecil impian saya adalah tak nak mak ayah dan keluarga hidup susah lagi. Alhamdulillah, walau tidak kaya, sekurang-kurangnya kami diberi peluang merasai kesenangan yang tidak terlalu sedikit. Syukur Allah..atas nikmat dan rezekiMu.


 Love, 
Akuida

24&25 Disember ~ Sebentar di Kidzania dan Tasik Titiwangsa

Assalamualaikum....

Rasa Tak puas cuti empat hari kali ini. Pertama kali rasanya cuti yang agak panjang tapi kami sekeluarga ada je di sekitar KL ni. Semuanya sebab suami kerja di hari Sabtu..haha. kesian. Tapi nak buat macam mana kan, perlu jimat cuti yang dah berbaki negatif tu untuk si kakak masuk darjah 1 dan orientasi sekolah agama 30 Disember nanti.Saya pula si isteri manja yang buat masa ni masih belum diberi kekuatan memandu bersendirian balik ke Melaka dengan anak-anak. Sebelum ni jika memandu sendiri balik ke Melaka dari Penang sebab ada kursus atau cuti panjang, biasanya akan minta adik datang ke Penang untuk teman saya memandu dan bantu handle anak sepanjang perjalanan..hahaha..Maaf la ya. memang begitu perangai saya.

Jadinya 24hb kami ke Kidzania menggunakan kupon percuma Airasia yang diberi kawan sepejabat suami. Cukup untuk kami berempat. Tapi yang dapat main hanya si kakak sebabnya sesuai untuk umurnya. Mama, papa dan adik tengok jela. Si adik lagi lah, ketakutan sepanjang dalam kidzania sebab kereta bomba tu asyik ada kes je dan kejap-kejap bebunyi. tak keruan si kecik. Sekejap juga dalam kidzania, pukul 2.45 petang kami keluar dah. Tak selesa saya dengan orang yang ramai. Dapatlah si kakak bekerja dan dapat upah 24kidzo..haha. Tiket free, jadi mama tak lah berkira sangat. Keluar pun sebab kakak kata dah penat (mama pun penat menunggu..haha) Kesian juga sebab orang ramai dan penat budak-budak menunggu giliran bekerjanya. Paling lawak, bila suami kata kalau senario cari kerja macam ni, nak bayar duit kereta pun tak mampu. Sebab banyak permintaan kerja dari pekerjaan yang ditawarkan..haha. betul juga kan?

Walau tidak lama dalam Kidzania tu, kakak gembira nampaknya. Sebenarnya ini kali kedua kakak ke kidzania. Kali pertama dengan rombongan sekolah..Alhamdulillah, syukur dapat baucar percuma dan dapat gembirakan anak-anak.

25hb pula, awal pagi yang taklah awal sangat (sebelum pukul 12 tengahari masih pagi lagi kan), saya ke dapur dan buat sarapan nasi lemak ringkas. hanya buat sambal bilis, timun dan telur rebus. Packing dan sarapan di Tasik Titiwangsa yang dekat dengan rumah tapi inilah pertama kali sepanjang 3 tahun menjadi penduduk KL, kami piknik di sini. Kesian juga..Kurang sejam proses memasak nasi lemak, tapi impaknya amat bermakna buat suami dan anak-anak. Nampak suami seronok bersarapan begini dan anak-anak seronok bermain di taman permainan yang ada di tasik. Syukur..Allah beri saya peluang untuk buat perkara kecil dan mudah tapi menggembirakan keluarga kecil saya. Ada juga perkara yang buat saya tersenyum lebar... pujian suami (sebenarnya, tak nampak macam pujian sangatlah) untuk sambal ikan bilis saya. 'Mama, sambal ni boleh buat berniaga lah. Sedap' Pujian la kan? hahaha...dan hati saya sangat berbunga kembang setaman. Alhamdulillah.

Sarapan nasi lemak homemade pukul 10 pagi di Tasik Titiwangsa





 Love, 
Akuida

Tuesday, December 22, 2015

Kegebuan

Assalamualaikum....






Hahahaha..Awak comel je bile gebu macamtu. Makcik ni je yang dok risau dengan berat yang semakin bertambah..waaaa. Ke arah Menurunkan berat 3 kg..chaiyok!




Love, 
Akuida

Monday, December 21, 2015

Terjentik Rasa

Assalamualaikum.... 

Hari ini hati saya dijentik sehingga rasa sangat terharu. Sukar untuk saya tafsirkan perasaan ini. Sengaja ingin diabadikan hari ini dalam sejarah kehidupan saya yang biasa-biasa sahaja. Hari ini Allah beri saya peluang menikmati bagaimana rasanya bila mendapat balasan baik dari orang yang kita jarang bekerja bersama, jarang bersua tapi dia ingat segala perkara baik yang kita pernah buat walau kita tidak pasti perkara baik yang mana satu pernah kita lakukan padanya.

Kadangkala, orang yang jauh lebih menghargai setiap hasil kerja kita daripada orang yang dekat dan terlibat dalam segenap perkara yang kita lakukan. Saya amat bersyukur diberi peluang merasai nikmat sebegini di mana perkara baik yang kita lakukan, bukan dibalas oleh orang yang kita buat baik padanya. Tetapi oleh orang lain..Alhamdulillah.


Saya berharap agar Allah makbulkan doa saya ini..Amin.



Love, 
Akuida

Friday, December 18, 2015

Si Amatur Di Dapur

Assalamualaikum....

Antara rancangan masakan yang saya gemar tonton adalah Bake with Anna Olson, Pati's kitchen dan Jamie at home. Saya gemar sebab bukan sahaja sedap tengok makanan yang dimasak, tapi dialek yang digunakan juga. Menonton rancangan masak-masak ni memberikan inspirasi untuk saya memasak, mem'baking' dan mengukis. Saya gemar baking untuk gembirakan hati anak-anak dan ambil hati suami..hihi.(ade je agenda tersembunyi tu kan)

Secara jujurnya saya masih amatur di dapur. Sangat cetek ilmunya. Masih belajar dari internet..ya internet dan blogger-blogger masakan adalah guru saya. Tapi guru pertama saya dalam semua bidang adalah mak saya a.k.a cik zizah. cik zizah tak pernah bagitau secara direct apa resipi masakan yang dimasak, tapi dari kecil saya memang disuruh untuk menumis, menggoreng dan mengacau apa-apa yang cik zizah masak. Jadinya secara tidak langsung saya tahu apa itu tumis sampai naik bau..macam mana nak goreng ikan. macam mana nak masak asam pedas. Tiada resipi spesifik, hanya ingat bahan yang saya lihat mak letak dalam mangkuk sebelum tumis dalam kuali. Mak pernah kata dulu mak aku tak pernah pun ajar masak tapi aku tau nak masak. Rupanya yang mak suruh kami adik  beradik mesti ada kat dapur bile dia memasak tu adalah salah satu siri kelas memasak mak sebenarnya. saya tahu semua asas memasak dengan mak. Jadinya sekarang jika tengok resipi di internet, saya tahu macam mana nak terjemahkan masakan yang dikongsi di internet di dapur saya..Alhamdulillah. Terima kasih mak.

Percayalah jika mak kita membebel kita tak menolong di dapur (erk..macam biase je kena bebel kan), sebenarnya mak hanya nak kita tahu kendalikan urusan dapur. ianya sangat berguna bila kita hidup sendirian tanpa mak atau berkeluarga satu hari nanti. Sehingga kini, jika anak-anak ok saya memang suka habiskan masa di dapur. Ianya bagaikan satu terapi untuk saya lepas 5  hari tiap minggu di pejabat. seronok bila dapat mem'baking' dan mengukis..Tapi 1 masalahnya adalah nak membasuh peralatan yang dah digunakan tu..aduh lah. memang la saya berat tulang yang itu. tapi tetap la kena basuh juga kan..hahaha.



 Love, 
Akuida

Wednesday, December 16, 2015

Cerita Tentang Ikan Seekor Berkongsi Dua

Assalamualaikum.... 

Walau sejauh dan setinggi mana kita pergi, kenangan silam kadangkala terbit dalam minda walau berpuluh tahun telah ditinggalkan. Ianya seperti dejavu (eh, betul ke dejavu?) rasa seperti semuanya macam baru je berlaku dan sangat hampir dengan diri.

 Perkara silam yang paling saya suka kenangkan adalah tentang kehidupan kami sekeluarga yang agak sempit suatu masa dulu. Dari kecil hinggalah ke sekolah menengah. Pernah menerima RMT (Rancangan makanan tambahan untuk anak-anak orang susah di sekolah rendah, pernah bersekolah di sekolah berasrama yang mendapat tajaan penuh dari baju seragam, yuran hinggalah ke buku-buku sekolah. Pernah ke sekolah dengan kasut koyak, beg dan baju sekolah lama yang saudara dah tak nak guna. Masa menaip ini pun, air mata masih bergenang tiap kali terkenangkan memori kesusahan yang dulu.

Sejak kecil, ketika itu dua beradik sahaja. Saya dan adik (saya panggil dia dak mok..haha). Memori paling tidak lupa adalah setiap hari jika mak goreng ikan peda (ikan kembung yang kecil dan kurus. tak pasti apa orang panggil) kami akan berkongsi seekor ikan. Kecil bahagiannya tapi syukur dak mok membesar bagaikan juara je..haha. Kami gilir-gilir jika waktu makan tengahari saya makan bahagian badan ke kepala, dak mok akan makan bahagian badan ke ekor. Bila makan malam, sebaliknya pula saya ekor, dak mok kepala. begitulah hari-hari jika mak goreng ikan peda tu.

Teringat juga rumah lama kami yang usang. Rumah di tepi sawah. Jadi, jika hujan lebat dan angin kencang, rumah seakan bergoyang dipukul angin. masih teringat bersempit bersama bila atap bocor dan air hujan menitik dari bumbung..Sedihnya bila mengingatkan.

Bila kami dah dewasa, kenangan itu sangat mahal harganya untuk kami. sebak bila mengingatnya tapi kadangkala tersenyum dalam sebak juga. Bagi saya setiap orang mempunyai pengalaman yang tersendiri sama ada indah, hebat dan ada juga yang perit..Terima kasih Tuhan kerana berikan kami memori yang mahal sebegini untuk kami kenang.

Syukur Alhamdulillah, semakin bertambah usia kami, semakin terasa nikmat rezeki yang Allah kurniakan pada kami. Sedikit demi sedikit kesusahan itu berlalu pergi. Walaupun tidak terlalu kaya, namun terasa kesenangan itu. 

Ada yang berkata, jangan hidup dibelenggu kenangan silam. Ada perkara yang perlu kita lupakan. Tapi bagi saya, kenangan ini yang membawa saya di tempat sekarang dan kenangan ini membuatkan saya tidak lupa diri sampai bila-bila..Insyallah.



Love, 
Akuida

Tuesday, December 15, 2015

Memasak dan Bekal

Assalamualaikum....

Saya adalah mama dan isteri yang bekerja. Kadangkala perlu outstation juga atas tuntutan kerja. Mengharapkan bantuan suami untuk mengurus rumah dan anak-anak bila saya outstation..kadangkala ada pula musim balik lewat. Nak tak nak, terpaksa juga harapkan bantuan suami. Buat masa ini tiada pembantu rumah sebabnya suami kata tiada privacy. Tu dia ok je untuk bantu saya uruskan rumah agaknya..hihi. Tq so much sayang.
 
 
Si Kakak ambil order dari papa dan order untuk diri sendiri..haha


Jadinya menu masakan di rumah jika hari bekerja ikut mana yang saya sempat dan ikut permintaaan anak-anak. Biasanya saya akan masak untuk sarapan (bekal suami, saya dan anak-anak) dan makan malam. Permintaan tu pun kadang-kadang bertangguh sebabnya rumit sikit nak disediakan dan saya bagitau anak insyallah akan buat esok atau hujung minggu. Yang penting, balik kerja saya akan usahakan masak. Jika ada kekangan baru lah minta husband tapau kedai sate or dinner di luar or order dominos..hahaha.
 
Hujung minggu biasanya akan usaha untuk masak yang best sikit. Yang mana rumit-rumit tu simpan hujung minggu la. Kadangkala hari Ahad suami ajak jalan-jalan, jadinya Ahad tutup dapur. Bagi rehat sebab tengah minggu penat memasak (emmm, dapur yang penat kot)..hihihi banyak sangat alasannya.
 
Impian saya untuk tahun 2016 pula adalah untuk sediakan bekal setiap hari untuk si kakak ke sekolah bersekali dengan adik, saya dan suami. Kesian memikirkan si kakak nak beratur membeli makanan di kantin sekolah. Teringat dulu-dulu masa sekolah rendah, saya memang jenis yang akan bawa bekal walau cuma sebuku roti krim yang dipotong tiga konon-konon potong comel-comel masukkan dalam bekas makanan..hahaha. Memang malas nak beratur. Jadinya si kakak ini jika Allah izinkan, saya memang berazam nak sediakan bekal untuknya. Jadi kita tunggu dan lihatla tahun depan jika keazaman si mama ni kuat untuk merealisasikan impiannya sendiri.
 
p/s : Sekarang tengah mengumpul sedikit cadangan menu untuk bekal tahun hadapan. Moga berjaya..chaiyokk!
















Love, Akuida

Majlis Hari Jadi Anak-anak

Assalamualaikum....

Jumaat minggu lepas saya balik kampung di Melaka. Sambil-sambil tu rancang nak shopping baju sekolah anak yang bakal masuk darjah 1 tahun 2016. Anak pertama kan..excited lah mama dan papa nya. Ahad sebelum tu suami tiba-tiba bagitau nak buat birthday party untuk anak-anak. Si kakak lahir 26 November, si adik pula 27 November. Bulan 12 ni ada masa dan cuti lebih sikit, so buatlah party nye..


Mampu letak gambar belon je..haha

Alhamdulillah, selesai dah party kedua-dua beradik tu. Cuma agaknya suami terrrrrlupa birthday si isteri 23 November tu kan. Saya menjeling juga la..kot-kotlah ada apa-apa suprise untuk kita ni. nampaknya sehingga 16 Disember masih tiada apa-apa lagi. Jadinya, betul lah tu terrrlupa nampaknya. (Hati sentap dalam diam ya) hahahaha.

Tapi takda la sentap betul-betul pun. Sebabnya saya tahu suami sibuk dengan kerjanya, dengan membantu saya di rumah uruskan anak-anak dan kerja-kerja rumah. Itu pun dah cukup besar rahmatnya untuk saya. 

Bagi saya dalam kehidupan, tidak salah kita impikan macam-macam perkara. Tapi tidak semestinya setiap impian itu perlu dijadikan kenyataan sebabnya kadangkala kenyataannya tidak akan sama seperti yang kita impikan. Sesungguhnya saya sangat bersyukur dengan kehidupan sekarang. Cukup bagi seseorang yang tidak punya cita-cita yang sangat besar ini..sering bermimpi sesuatu yang kecil sebabnya takut terluka jika impikan yang hebat-hebat.


Buat anak-anak mama, Selamat Hari lahir sayang. Kelahiran kamu berdua adalah detik yang terindah dalam hidup mama dan papa. Walau sering dimomokkan dengan kesakitan semasa bersalin, Alhamdulillah atas rezki Allah untuk mama di mana kurangnya kesakitan dan tempoh masa yang pendek merasa sakit, kamu berdua keluar menjengah dunia..Alhamdulillah. Semoga kamu berdua menjadi anak yang solehah untuk mama dan papa, pintar dan terang hatinya menerima ilmu-ilmu baik yang diajar, berjaya di dunia dan akhirat, sihat sejahtera dan segala yang baik-baik untuk kamu berdua..Amin.



 Love, 
Akuida

Sunday, December 6, 2015

Tentang..Yang Menyesakkan

Assalamualaikum.... 

Beberapa hari ini fikiran saya sedikit terganggu dengan hal-hal berkaitan sosial pejabat. Tentang perilaku sesetengah rakan yang sentiasa merasakan dia betul dalam setiap perkara sehingga mampu berhujah panjang lebar untuk menunjukkan dia betul dan hebat dalam pendapatnya. Tentang pegawai atasan yang sukar menerima pendapat orang bawahannya. Tentang rakan yang boleh emosi melampau bila pendapatnya tidak diterima sehingga mampu berkata yang kurang enak didengar.

Tentang rakan sekerja yang tidak segan silu menerima kerja yang sepatutnya bidang tugas staf lain sehingga menimbulkan masalah dikemudiannya. Tentang rakan sekerja yang tanpa segan silu mengatakan sanggup buat apa sahaja untuk mendapatkan pengiktirafan.Tentang diri saya yang berfikir adakah saya silap di mana-mana dalam pengurusan kerja saya sepanjang perkhidmatan yang menjangkau 10 tahun ini.


Banyak perkara yang bermain di fikiran sehingga saya fikir saya lelah untuk berfikir dan sampai bila saya ingin nampak baik tetapi menidakkan perkara yang sebenarnya pada pandangan dan pertimbangan saya ianya tidak baik atau tidak patut berlaku. Patutkah saya menegur berdasarkan pertimbangan saya atau saya biarkan sahaja?

Kadangkala, jiwa ini beremosi memikir segala yang menyelubungi ruang fikiran ini. Antara rakan, penyelia, tanggungjawab dan pertimbangan akal fikiran.Mungkinkah perlu menjadi orang yang sangat neutral dan membiarkan apa sahaja yang berlaku di sekeliling, buat tak endah asalkan semua tugasan selesai?oh...itu bukan saya sebenarnya. Tapi saya rasa itu yang paling wajar buat masa ini daripada membiarkan diri saya dibelenggu memikirkan perkara yang tidak sepatutnya.

Semoga semua yang berlaku ada hikmahnya dan ditunjukkan Allah jalan penyelesaiannya yang terbaik. Semoga saya diberikan persekitaran kerja yang lebih baik dengan rakan-rakan sekerja yang lebih baik selepas ini...Amin.



Love, 
Akuida

Wednesday, December 2, 2015

Imaginasi dan Kundasang?

Assalamualaikum....

Saya adalah seorang yang suka berimaginasi selalu sangat imaginasinya adalah berkaitan hantu..(Cerita benar ya)..haha

Saya kerap juga outstation dan menginap sendirian di bilik hotel. Perkara pertama saya akan buat adalah check belakang langsir, bawah katil, bawah sinki tandas bilik. Kadang-kadang saya rasa diri sendiri psiko.

Suami pernah tanya, jika saya tengok dan terjumpa, apa yang saya nak buat? Saya jawab, entahla belum terpikir lagi kalau jumpa..hahaha.

Jika sendirian, saya akan tidur malam dengan bantal di kiri kanan saya sebabnya selalu tengok cerita hantu, hantu ada di sebelah jika baring..hahaha. Habis?Kalau letak bantal, tak ada lah hantu boleh baring?YA..

Itulah saya yang terlalu sangat berimaginasi.

Sejak kecil saya selalu dengar tentang Gunung Kinabalu, melihat gambarnya..Tapi sehingga umur yang hampir mencapai 32 tahun, belum pernah sekalipun saya menjejak ke kaki Kinabalu.

Baru-baru ini, impian saya tertunai..dengan izin Allah saya berjaya sampai ke Kundasang dan menginap semalam di Kinabalu Pine Resort di kaki Gunung Kinabalu..Subhanallah. 

Syukur yang amat kerana minggu tersebut adalah musim hujan di Kota Kinabalu. Tapi berkat doa anak-anak, dari menjejakkan kaki ke Kundasang sehingga check-out dari Kinabalu Pine ini, tiada hujan dan Allah beri saya peluang untuk melihat Gunung Kinabalu dari petang hingga ke esok paginya.

Pagi itu, seawal subuh saya dah berjaga dengan dingin yang teramat sangat. Saya duduk di beranda bilik menunggu Gunung Kinabalu menampakkan diri..Syukur Alhamdulillah.


Pandangan gunung dari beranda bilik pada jam 6.45 pagi.

Pandangan gunung pada jam 6.10 pagi



Pandangan gunung pada jam 4.30 petang hari sebelumnya      

Itulah saya yang impiannya tidaklah besar seperti orang lain. Tetap cuba saya gapai walau lama perlu saya tunggu untuk mencapainya.




 Love, 
Akuida

Harapan Di Bulan Disember

Assalamualaikum.... 

 Semalam masa memandu balik dari ofis sambil dengar Radio Era ada topik yang dibincangkan lebih kurang mengenai apa yang kita nak lakukan pada bulan Disember seperti bercuti atau membeli-belah sebab banyak sales hujung tahun.

Ada DJ lelaki kata nak bercuti di Eropah, tempat sejuk best katanya.

Ada DJ perempuan kata nak duduk di Malaysia dan membeli-belah sebab banyak jualan murah hujung tahun.

Saya dengar sampai bahagian DJ nak mulakan sesi untuk pendengar telefon dan berkongsi apa yang ingin dilakukan (Dengar sampai situ sebab saya dengar radio masa memandu. Sampai part itu, saya dah sampai parking rumah..hihi).

Masa dengar tu, saya terpikir juga apa yang saya teringin nak buat di bulan Disember setiap hujung tahun.

Masa itu, mula berangan nak ambil cuti rehat paling minimum 2 minggu di bulan Disember nak luangkan masa di rumah jadi surirumah sepenuh masa dengan anak-anak. 

Buat kerja-kerja rumah yang tak pernah terbuat sepanjang tahun..hahaha.

Luang masa untuk membaca novel, belajar menulis, dengar ceramah agama..

Itulah impian saya untuk hujung tahun. Tak teringin sangat nak bercuti sebab sesak dengan orang.

Impian kecil yang masih belum dapat dipenuhi sebab di tempat kerja sekarang, hujung tahun inilah masa-masa kritikal untuk pelbagai urusan yang perlu diselesaikan.

Itulah lumrah manusia, setiap manusia ada impian dan cita-cita demi meneruskan kehidupan ini.

Tiada cita-cita dan impian ibarat tiada arah tuju dalam kehidupan.

Cita-cita dan impian walaupun kecil dan tidak bermakna di mata orang lain, tapi ianya sangat bermakna untuk saya.

Betapa saya menginginkan 2 minggu itu untuk hujung tahun saya.

Tapi tak mengapa, mungkin di tahun-tahun yang lain, saya dapat dua minggu itu..hihi. Insyallah.



Love, 
Akuida

Monday, November 30, 2015

Permulaan 1.12.2015

Assalamualaikum..

Pertama kali menghayun jejari melakar nukilan di blog ini dengan harapan untuk mengasah kemahiran menulis, meluahkan rasa agar lebih positif dan segalanya untuk renungan dan kebaikan diri ini yang serba kekurangan.

Di blog ini, saya harapkan akan menulis tentang harapan, motivasi diri, berkongsi resipi, berkongsi kegembiraan, berkongsi segalanya yang tidak peribadi.

Semoga kewujudan blog ini membantu saya berkarya selain menjalani kehidupan harian yang nampaknya sangat biasa bagi wanita yang normal dan gebu..hahaha.


Love,

Akuida

Merasa CUKUP..syukur

Assalamualaikum.... Alhamdulillah dah masuk hari ke-15 Ramadhan. Semalam bising lah juga kat FB, wasap group.. pasal isu bonus raya kaki...